KUALA LUMPUR: Seramai 768 remaja seawal usia 13 tahun, melahirkan anak
yang sebahagian besarnya luar nikah sejak 2008 hingga bulan lalu, akibat
pergaulan bebas.
Berdasarkan rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat
(JKM) bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini saja, JKM mencatat 111
kes remaja bawah umur hamil berbanding 113 kes sepanjang 2009 dan 107
kes pada 2008.
Jumlah itu dipercayai lebih tinggi kerana ia
berdasarkan kes dirujuk kepada JKM untuk mendapatkan perlindungan di
Taman Seri Puteri, selain statistik tiga hospital kerajaan – Hospital
Kuala Lumpur (HKL), Hospital Tuanku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital
Tuanku Jaafar, Seremban.
Ada 135 hospital kerajaan di seluruh negara,
tetapi usaha Berita Minggu mendapatkan perangkaan di kebanyakan
hospital tidak berjaya, kerana antara lain alasan ialah isu sensitif dan
bimbang dikenakan tindakan Kementerian Kesihatan.
Sebahagian remaja
berkenaan membuat pengakuan sudah berkahwin kepada pihak hospital, ada
mendakwa tidak tahu hubungan seks dengan rakan boleh menyebabkan
kehamilan, malah ada kes mengaku dirogol.
Bagaimanapun, remaja
diklasifikasi kepada dua kategori, bawah 18 tahun dan bawah 16 tahun.
Remaja bawah 16 tahun yang hamil dianggap sebagai kes rogol, walaupun
atas dasar suka sama suka.
Justeru, pasangannya boleh dikenakan
tindakan mengikut undang- undang sedia ada, manakala remaja di bawah
usia 18 tahun akan dirujuk kepada JKM sebagai pelindung yang diwartakan.
Pengarah
Bahagian Kanak-Kanak JKM, Noramni Mohd Yusoff, berkata pihaknya tidak
hairan jika angka sebenar remaja bawah umur yang hamil lebih tinggi.
“JKM
hanya rekodkan kes dilapor atau memohon perlindungan. Statistik sebenar
hanya boleh diperoleh dari hospital seluruh negara,” katanya kepada
Berita Minggu.
Tinjauan di HKL dan HTAR, mendapati pada 2008 seramai
106 remaja bawah umur hamil luar nikah, manakala di HKL, 50 kes pada
2008, 67 kes (2009) dan sehingga Jun tahun ini, 38 kes.
Kajian
Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang
dan Jabatan Kerja Sosial Perubatan HKL mendapati, kebanyakan remaja
bawah umur ini tidak tahu hubungan kelamin boleh menyebabkan kehamilan.
Mereka
melakukannya atas dasar ingin mencuba dan berseronok dengan rakan
sekelas, kekasih yang lebih berusia selain ada juga kes mengaku dirogol.
Ketua
Jabatan dan Pakar Perunding Kanan, Jabatan Obstetrik dan Ginekologi,
HTAR, Dr Mohamad Farouk Abdullah berkata, kajian 2008 mendedahkan
kebanyakan remaja berkenaan berusia antara 14 hingga 18 tahun dengan
majoritinya, berbangsa Melayu
